Pages



• Sewa iklan RM5 sebulan (size 125x125) + review blog x 1 • KLIK TEMPAH

Saturday, February 08, 2014

TERMA DAN SYARAT PERKHIDMATAN POSLAJU (PL1A)


Berikut adalah terma dan syarat perkhidmatan yang menjadi KONTRAK yang dipersetujui di antara PENGIRIM dan POSLAJU apabila pengirim menggunakan perkhidmatan Poslaju sama ada ruangan Perjanjian Pengirim pada Borang PL1A telah ditandatangani atau sebaliknya.


1. Pengeposan dokumen penting

Pengeposan salinan asal dokumen-dokumen penting seperti berikut tetapi tidak terhad iaitu MyKad, pasport, sijil lahir/nikah, buku cek, cukai jalan, sijil-sijil akademik atau lain-lain dokumen penting adalah di atas risiko pengirim. Tanggungan Poslaju terhadap sebarang kerugian atau kos langsung atau tidak langsung susulan dari kehilangan atau kerosakan pada dokumen-dokumen tersebut adalah terhad seperti yang disebut dalam Perkara 9 di dalam Terma dan Syarat Perkhidmatan ini.


2. Item-item yang dilarang untuk pengeposan

Pengeposan sebarang item yang dikategorikan sebagai item merbahaya (dangerous good) dan item larangan oleh Poslaju atau pihak berkuasa atau negara destinasi adalah dilarang sama sekali. Sila rujuk laman web www.poslaju.com.my untuk maklumat senarai item-item merbahaya dan item-item larangan sebagai makluman sebelum pengeposan.

Poslaju berhak membuat pindaan jenis item-item yang dikategorikan sebagai merbahaya atau item larangan. Poslaju juga berhak menolak pengeposan sekiranya didapati kandungan atau sebahagian kandungan item tersebut adalah item menbahaya atau item larangan. Poslaju tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan pemulangan caj pengeposan atau tuntutan kos kehilangan, kerosakan atau kerugian langsung atau tidak langsung, walaupun diposkan atau diterima untuk pengeposan secara sengaja atau tidak sengaja.


3. Pengeposan di atas tanggungjawab pengirim

Pengirim bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang pengeposan item seperti berikut tetapi tidak terhad iaitu item berbentuk cecair, krim atau kosmetik di dalam bekas yang berisiko pecah serta sebarang bentuk makanan yang mudah rosal dan/atau boleh membawa mudarat kepada item-item lain. Poslaju tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan pemulangan caj pengeposan atau tuntutan kos kerosakan atau kerugian tidak langsung walaupun diposkan atau diterima untuk pengeposan secara sengaja atau tidak sengaja.

Pengirim juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang pengeposan item kaca, porselin, seramik atau barang perhiasan yang rapuh/mudah pecah. Poslaju tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan kos kerosakan atau kerugian tidak langsung kecuali item tersebut telah diinsuran menerusi Poslaju serta dibungkus dan dilabel dengan sempurna.


4. Bungkusan item pengeposan

Pengirim bertanggungjawab memastikan item yang dikirim telah dilabelkan pada setiap permukaan dan dibungkus atau dibalut dengan sempurna, selamat dan memenuhi ciri-ciri keselamatan untuk melindungi kandungan item semasa kendalian secara biasa sepanjang proses pengeposan. Poslaju tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang berpunca dari cara pembungkusan yang tidak sempurna. Poslaju juga tidak bertanggungjawab terhadap tuntutan yang gagal dibuktikan secara fizikal dan sahih bahawa kerosakan tersebut disebabkan oleh Poslaju.


5. Pengisytiharan kandungan pengeposan

Kandungan pengeposan dan nilai sebenar kandungan mesti diisytihar dengan lengkap dan sahih. Poslaju tidak akan melayani sebarang tuntutan caj pengeposan atau pampasan sekiranya pengisytiharan semasa pengeposan adalah palsu, tidak lengkap, mengelirukan atau bercanggah dari kandungan dan nilai sebenar kandungan yang telah diisytiharkan semasa pengeposan dibuat.


6. Jaminan Serahan

Poslaju akan memastikan item diserah mengikut standard serahan yang ditetapkan. Walaubagaimana pun, jaminan ini tertakluk kepada alamat penerima yang lengkap dan tepat serta mengikut hari bekerja sahaja. Poslaju bertanggungjawab membuat serahan kepada alamat yang ditulis oleh pengirim di atas nota konsain. Serahan berjaya apabila berjaya diserah mengikut alamat yang ditulis oleh pengirim. Poslaju tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerosakan atau tiada penerimaan yang berlaku selepas serahan kepada alamat yang ditulis oleh pengirim.

Item yang tidak dapat diserah ketika cubaan serahan pertama akan ditinggalkan notis pemberitahuan. Cubaan serahan kali kedua akan dibuat atas permintaan atau penerima boleh membuat pungutan di mana-mana Cawangan Poslaju atau Pejabat Pso seperti yang dimaklumkan menerusi notis pemberitahuan. Item akan dipulangkan semula kepada pihak pengirim sekiranya tiada tuntutan atau gagal diserah dalam tempoh 14 hari dari tarikh cubaan serahan pertama. Sebarang kos kerosakan atau kerugian langsung atau tidak langsung yang timbul semasa tempoh simpanan menunggu item dipungut adalah diluar tanggungan Poslaju.


7. Aduan kerosakan

Sebarang kerosakan pada item Poslaju tidak terhad kepada (a) isi kandungan diterima dalam keadaan berkurangan (terdapat perbezaan berat semasa pengeposan yang tercatat pada resit pengeposan (PL1A) dengan berat semasa ditimbang semula, (b) isi kandungan adalah berlainan dari yang telah diisytiharkan pada resit pengeposan domestik (PL1A) atau, (c) kerosakan pada isi kandungan, ia mestilah dilaporkan kepada pihak Poslaju dalam tempoh 48 jam selepas item diterima. Poslaju tidak akan melayani sebarang tuntutan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak sekiranya aduan atau tuntutan dibuat selepas tempoh 48 jam item diterima tanpa bantahan. Item yang didakwa rosak di bawah kawalan Poslaju mesti dibuktikan secara fizikal semasa aduan dibuat supaya pemeriksaan dan pengesahan dapat dilakukan oleh pihak Poslaju. Poslaju berhak menolak sebarang tuntutan sekiranya pihak pengadu gagal mengemukakan bukti kerosakan berlaku di bawah kawalan Poslaju. Tanggungan Poslaju adalah terhad kepada kerosakan isi kandungan sahaja mengikut had yang dinyatakan di dalam Perkara 9.

Poslaju akan menanggung kos penghantaran semula item rosak di bawah kawalan Poslaju kepada pengirim (jika perlu). Sebaliknya, sekiranya gagal dibuktikan rosak di bawah kawalan Poslaju, caj pengeposan akan dikenakan untuk penghantaran semula kepada pengirim.


8. Tuntutan gantirugi

Sebarang tuntutan gantirugi akibat kehilangan atau kerosakan item Poslaju hanya boleh dituntut oleh pihak pengirim atau wakil yang dipersetujui secara bertulis oleh pengirim. Tuntutan gantirugi mesti (a) dituntut dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeposan, (b) dikemukakan secara bertulis bersama bukti pengeposan dan salinan pengenalan diri yang sah, (c) diserah kepada Cawangan Poslaju berhampiran.


9. Bayaran tuntutan maksima

Tanggungan Poslaju terhadap tuntutan kos kerugian langsung bagi item rosak atau kehilangan yang disebabkan serahan tidak mengikut alamat yang ditulis oleh pengirim dan kerosakan atau kehilangan yang berlaku sebelum item diserah mengikut alamat yang ditulis oleh pengirim, adalah terhad mengikut jumlah berikut, (a) jumlah sebenar kehilangan atau kerosakan yang dialami berasaskan kandungan dan nilai sebenar kandungan yang telah diisytiharkan pada Borang PL1A semasa pengeposan atau maksima RM100 bagi dokumen atau bungkusan yang beratnya kurang 2kg tertakluk yang mana lebih rendah, (b) jumlah sebenar kehilangan atau kerosakan yang dialami berasaskan kandungan dan nilai sebenar kandungan yang telah diisytiharkan pada Borang PL1A semasa pengeposan atau maksima RM300 bagi dokumen atau bungkusan yang beratnya bersamaan dan melebihi 2kg tertakluk yang mana lebih rendah, (c) terhad kepada satu tuntutan untuk satu item pengeposan sahaja tertakluk yang mana lebih tinggi tetapi tidak melebihi had maksima tanggungan Poslaju.

Sekiranya nilai pengeposan melebihi had tanggungan Poslaju, pengirim bertanggungjawab untuk menginsurankan item pengeposan sama ada melalui insuran yang ditawarkan oleh Poslaju atau mana-mana insuran pilihan pengirim. Sekiranya pengirim gagal mendapatkan perlindungan tambahan menerusi insurans, tanggungan Poslaju adalah tertakluk dan terhad seperti yang dijelaskan di atas.


10. Status pengeposan boleh disemak menerusi laman web www.pos.com.my atau PosLine 1 300 300 300. Sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan item mestilah dikemukakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeposan


11. Sekiranya salah satu dari perkara di atas tidak sah digunapakai, ia tidak menghalang perkara-perkara lain yang terkandung di dalam Terma dan Syarat ini untuk sah digunapakai. Semua peraturan adalah tertakluk kepada perkara-perkara yang terkandung di dalam Terma dan Syarat yang dinyatakan di atas, sungguh pun demikian Poslaju berhak menggunapakai peraturan-peraturan lain yang dikuatkuasakan oleh Pos Malaysia meskipun ia tidak dinyatakan di dalam Terma dan Syarat ini. Sila layari laman web www.poslaju.com.my untuk perincian dan tambahan (jika ada) bagi syarat-syarat di atas. 


3 comments:

  1. nak tanya, plastik poslaju tu kena beli sendiri ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sorry dear. tak perasan ada komen.

      ye. plastik poslaju kena beli sendiri dan bayar pada masa tu jugak. untuk sampul size S RM6 <500gm

      Delete
  2. hi ppl,camna ye nak mnta serahan kali kedua

    ReplyDelete

awk komen saya sayang awk lebey...wee

Copyright by SaraHuda 2014. Powered by Blogger.
 
COPYRIGHT@SARAHUDA 2014